Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksBrief History


Kementerian Perhubungan ditubuhkan pada tahun 1984 sebaik sahaja Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan penuh.  Pada awal penubuhannya, Kementerian Perhubungan ditempatkan di Bangunan Sekretariat, Bandar Seri Begawan, dan kemudiannya berpindah ke Bangunan Jabatan Telekom Brunei di Lapangan Terbang Lama, Berakas, sebelum berpindah ke bangunan kekal Kementerian yang terletak di Jalan Menteri Besar, Bandar Seri Begawan pada 18hb November 1999 sehingga sekarang.  

Kementerian Perhubungan mempunyai beberapa buah jabatan dibawahnya  sejak awal penubuhan Kementerian ini.  Jabatan-jabatan berkenaan adalah Jabatan Telekom Brunei, Jabatan Perkhidmatan Pos, Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan Jabatan Laut.

Turut terkandung di bawah bidang kuasa Kementerian Perhubungan adalah Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI),  yang ditubuhkan pada 1 Januari 2003 sebagai badan pengawalselia sektor ICT di Negara ini. 

Penubuhan AITI seperti yang diperuntukkan di bawah Perintah AITI 2001 adalah bertepatan dengan dasar Kerajaan bagi penubuhan badan kawalselia yang akan memantau perkembangan dan pembangunan industri ICT. Dengan penubuhan AITI, perkembangan dalam sector ICT dapat dilihat dengan penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan ICT yang diberikan secara competitive oleh syarikat-syarikat penyedia.  

Manakala, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam pula sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Perkhidmatan Kajicuaca iaitu satu bahagian yang ditubuhkan pada tahun 1966 di bawah Jabatan Penerbangan Awam.  Pada 01 Februari 2013, Bahagian Perkhidmatan Kajicuaca telah dinaiktaraf menjadi sebuah Jabatan yang kini dikenali sebagai Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam. Jabatan ini berperanan dan bertanggungjawab dalam penyediaan khidmat dan maklumat kaji cuaca dan iklim di Negara Brunei Darussalam. 

Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mulai 28 September 2017, Jabatan Laut dan Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan digabungkan menjadi Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (MPABD).

MPABD ditubuhkan sebagai badan berkuasa yang mengawalselia dan bertanggungjawab ke atas pengurusan, pentadbiran dan keselamatan hal ehwal pelabuhan dan perkapalan di Negara ini.  Penubuhan MPABD ini juga membolehkan perkembangan sektor pelabuhan dan perkapalan yang lebih terancang, terarah dan teratur.


Menjadi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Pada 15 Disember 2018, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah memperkenankan penukaran nama Kementerian Perhubungan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi MTIC). 

Penamaan baharu ini adalah selaras dengan teras Kementerian selaku penggubal dasar yang bertanggungjawab keatas perkembangan dan kemajuan sektor pengangkutan dan infokomunikasi. Penamaan baharu ini juga menunjukkan usaha bagi membawa sektor pengangkutan dan infokomunikasi di Negara Brunei Darussalam seiring dengan amalan terbaik serantau perkembangan pasaran dan teknologi semasa.  Selain itu, bagi mendokong pertukaran nama ini, struktur organisasi juga turut dikemaskini dan kini dibahagikan kepada sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi dengan masing-masing diketuai oleh Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap. 

Dengan penamaan baharu ini,  MTIC juga mengalami perkembangan baharu  pada tahun 2018 dan 2019 yang meluaskan bidang tugas dan portfolionya  bagi merangkumi isu-isu digital semasa, iaitu:- 

     a. Penubuhan Majlis Ekonomi Digital yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan & Ekonomi Kedua bersama Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.  Majlis Ekonomi Digital mengambilalih peranan Majlis IT Kebangsaan (BIT Council) dan E-Government Leadership Forum (EGLF);
    b.   Pelantikan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan siber (Minister-in-charge of Cybersecurity) serta penubuhan Cyber Security Brunei (CSB) sebagai sebuah agensi kebangsaan yang khusus bagi keselamatan siber;
      c. Penyerapan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) dan Bahagian Overall Government CIO (OGCIO) di Jabatan Perdana Menteri, dan Bahagian Digital Nation Kementerian Tenaga ke Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi;  dan
     d. Bagi Bahagian Sains, Teknologi dan Inovasi (termasuk peranan Brunei Research Council [BRC][) yang sebelum ini di bawah portfolio perindustrian di Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian pada ketika itu untuk diserapkan ke Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Struktur terkini Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga turut diperluaskan merangkumi:-
i. Jabatan Kajicuaca 
ii. Jabatan Pengangkutan Darat 
iii. Jabatan Penerbangan Awam 
iv. Jabatan Perkhidmatan Pos
v. Pusat Kebangsaan E-Kerajaan